Royal Black


26 November, 2012 | Monday, November 26, 2012 | 0 comments


MASA MERUBAH SEGALANYA

Serpihan dari mimpi
terpahat pada hati
kusangka kesempurnaan 
ikatan 
berpanjangan.....
hakikat kehidupan 
telahpun mendedahkan
diriku ini pada 
kenyataan.....


engkau bukan lagi 
menjadi milikku
aku tidak mungkin menjadi milikmu
sesungguhnya masa merubah segalanya
sehingga amat ketara
terasa baru irama lagu cinta


parut yang engkau tinggalkan
sungguh tak kelihatan
bisanya kepedihan kualami sendirian
serpihan dari luka
walau cukup menyiksa
mengajar aku menjadi dewasa....

Assalamualaikum  dunia sepi seorang perempuan. Sesungguhnya , sesekali rasa tak bermaya hadir menyinggah di hati ini. Semua yang dibuat serba tak kena. Pandang ke kiri menyampah, pandang ke kiri rasa gelabah. Owwhhhhhhhhhh.......

Sepetang melayan perasaan, melodi ini menyentuh hati. Terbuai dek kehilangan semalam. Duhai hati, akupun tak mengerti, benarkah aku telah kehilangan. Kehilangan siapa? Yang pasti aku kehilangan semangat . Aku semakin diburu sepi setelah penawar sepiku menemui penawar sepinya. Aku redha, tak selamanya aku memilik penawar itu kerana aku bukan milik dia dan tak mungkin dia akan memiliki aku. Jelassssssss....

Hakikat kehidupan telah menyedarkan aku pada kenyataan...aku bukan lagi remaja yang patah tangkai hati dek putus cinta. Aku harus tabah menghadapinya kerana masa banyak mengajar aku , apa itu kecewa dan terus kecewa terus-terusan. Bahagia, di manakah kamu sembunyi? Aku tidak tahu apa itu bahagia di dalam erti kata sebenar kerana hidup aku penuh dengan gelombang, derita berterusan. Malangnya.......
Ahhh....tidak! aku bukan dilahirkan untuk meratapi sebuah kehilangan. Kehilangan demi kehilangan menjadikan aku semakin kental..setabah karang di samudera mengganas.
Ungkapan keramat yang ini masih terngiang di telingaku, sebuah ungkapan yang asalnya keluar dari jari-jemariku untuk memujuk seseorang yang kecewa ditinggalkan oleh kekasih hati. Akhirnya ungkapan itu berbalik semula pada aku.Hukum karma barangkali. Aduhai.....

Sesungguhnya masa merubah segalanya.  Kehilangan 'seseorang' yang ini akan merubah seorang aku untuk menghargai peluang yang dihadirkan di depan mata. Mengisi sisa-sisa waktu yang tertinggal hanya sekelumit ini dengan meneruskan pencarian memantapkan diri pada makanan rohani, janji syurga abadi. Perjalananku semakin senja, sesungguhnya aku amat merindukan gemerlapan cahaya bulan, kerdipan sinar bintang-bintang berteraburan di langit sana...indahnya sepi dinihari berbicara dengan pencipta diri serta seisi alam~itulah kasih cinta hakiki.

Dinihari seterusnya.....izinkan aku mencari diriku, mencari kekurangan diri,. Takkan ada lagi bisikan-bisikan yang melalaikan...
Izinkan aku pergi jauh dari memori semalam yang indahnya sementara.
Sesungguhnya, MASA MERUBAH SEGALANYA..........

24 November, 2012 | Saturday, November 24, 2012 | 0 comments
Lamanya saya tak menjenguk kemari, mengemas kini 'diari hati' saya ini. Masa terlalu cemburu, dari hari ke hari saya tangguhkan. Tak sedar sudah berbulan-bulan....Minda saya sarat dengan idea untuk menulis tapi tangan saya bagai digari.Tak mampu untuk menaip dek tugasan yang tak pernah habis. Impian saya tak pernah padam tapi......sedihnya langkah saya bagaikan terhenti.
Sekarang tidak tahu dari mana harus saya bermula kembali...ramai yang berkata, mulakan dengan Bismilllahhirrohmanirrohim.....
Ya Allah! Berikan kekuatan pada saya untuk memulakan kembali impian tertunda saya. Limpahkan kembali ilham yang membolehkan saya untuk terus meneruskan penceritaan kisah berkisah agar segalanya dikisahkan akan menjadi sebuah monumen indah terus dikenang sepanjang hayat saya.Permudahkanlah aku untuk melakarkan segalanya ....
"Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki."AMIN.


18 September, 2012 | Tuesday, September 18, 2012 | 0 comments
AKU TANPA KAMU
Tanpaku
hilanglah manjamu
tanpaku
sepilah duniamu
tanpaku senyumanmu tawar
hambar
tanpaku
tepukan tanganmu
pincang
tapi kenapa kau
singkirkan setia
percayaku kian tipis
ragu mengejar hati
tanpamu
aku bisa berlari
sendiri!

by:
NurQasehku Olia
Penang
19September2012

| Tuesday, September 18, 2012 | 0 comments
AKU ADA KAMU

Aku ada kamu
kamu ada aku
bicara tanpa suara
jemari menari
mata menatap
hati mengerti segalanya
tanpa mengharapkan apa-apa
menghalau duka
membuang sepi
ada rindu yang tidak dipedulikan
galak menikmati bahasa alam
kasih berpadu
bersama angin berlalu....


by;
NurQasehku Olia
18Sept2012

14 September, 2012 | Friday, September 14, 2012 | 0 comments
Blog Under Construction


12 June, 2012 | Tuesday, June 12, 2012 | 0 comments



Assalamualaikum, lamanya saya tak menjengah ke blog Mahabbah d'qasehku Olia ni. Terasa rindu yang teramat sangat , namun waktu membataskan untuk saya meleraikan rindu ini. Semenjak dua menjak ini terlalu banyak kisah duka yang melanda hidup saya. Terkadang terasa diri tak mampu untuk menghadapinya, namun saya sedar walau bertimbun masalah yang saya hadapi, masih kedapatan insan lain yang menghadapi masalah yang lebih dari saya. Tuhanku, berikan kekuatan pada saya untuk menghadapi apa jua yg bakal terjadi di dalam kehidupan saya.

Sedar tak sedar June menghadirkan diri, sudah setengah tahun 2012 yg saya lalui.Saya rasakan baru semalam Januari 2012 menyapa. Januari hadir bersama dengan linangan air mata dari seorang isteri bernama saya.Tak saya sangka badai yg melanda selama ini berubah menjadi taufan yang ganas. Saya hampir lemas dan terdaya untuk meranduknya lagi. Namun, kerana permata-permata hati, saya abaikan kesakitan dari gurisan semalam.Saya buang jauh-jauh rasa pedih di hati. Rasa dendam di dalam diri.Walau  semakin saya cuba semakin menghiris luluh, hati tersagat luka...rasa kasih dan sayang yang saya semai selama ini seakan terbang jauh, tak bersisa lagi. Saya pujuk hati saya, kerana saya mampu Allah anugerahkan saya kelukaan ini, Allah tahu apa yang terbaik buat saya. Ya Tuhan, anugerahkan kekuatan untuk saya menghadapi apa jua keberangkalian yang akan melanda bahtera rumah tangga saya...21 June 2012 tarikh keramat, bakal saya hadapi dengan tenang hendaknya.

Sebelum June hadir, pasti Mei terlebih dahulu mengucap salam. Mei 2012..terlalu banyak kisah dan cerita yang telah memenuhi diari kehidupan saya. Bermula 4hbMei..."Happy birthday to me". Ya Allah, cepatnya masa berlalu...usiaku kian senja rupanya. Masih banyak cita-cita saya tak tercapai lagi. Sebelum saya menutup mata, ingin sekali saya melahirkan novel sendiri , melakarkan kisah sepanjang kehidupan saya. Entah bila projek yang satu ini akan terlaksana dengan jayanya. Jikapun bukan menjadi sebuah novel yang popular, cukup sekadar sebuah novel memenuhi percapaian peribadi saya.Insya-Allah...go, go ,go....LIA H.M, jangan biarkan bakat yang disemai sejak remaja lagi terbantut begitu saja. Kembali mengasah pensil, teruskan menulis bait-bait kata menjadi senaskah novel , perjuangan disambung oleh NurQasehku Olia...Moga angan-angan akan menjadi kenyataan....PERGILAH DUKA memberi salam.:)

Terkapar-kapar ku kelemasan
sakit dilambung ombak kerinduan
di dalam tidur
di dalam jaga
diburu oleh mimpi yang serupa
mengapa aku jadi tidak menentu
keranamu...

Catatan akan bersambung........................................................




AKUKAH ITU?
21 November, 2011 | Monday, November 21, 2011 | 0 comments



Di hatinya ada kelembutan
sarat dengan kesetiaan
di matanya ada tangisan
meski tak berjuraian mutiara
hanya basah di hati
di bibirnya ada senyuman
meski sepalit cuma
jiwanya mendambakan
kasih sayang mengisi kekosongan

sekian lama keinginan menjadi hambar
pertalian menjadi tawar
terkadang pedih bagai ditikam selumbar

Pun dipujuknya hati
setialah menanti dengan kesabaran
demi permata hati kian berkilauan
zahirnya tega bertahan
melindungi rasa kecamuknya perasaan
memendamkan gelora
demi sebuah kehidupan
yang bernama perkongsian


akukah itu?

~NQO (IG)
Pulau Mutiara.
8November2011


~Mungkin itu aku dari sudut pandangan mata hatimu.
aku tak mampu untuk menafikannya...:)

BUKAN AKU DI MATAMU
| Monday, November 21, 2011 | 0 comments



Di matamu bukanlah aku
kerana pandangan telah beralih arah
biarpun kucuba membetul kesilapan
janggal jua terserlah

di hatimu bukanlah aku yang bertakhta
kerana curiga mengalih haluan percayamu
janjipun tersasar menjadi dendam yang parah
indah yang kita cipta sekejap cuma
tersarung kembali harapan
sekadar singgah di pintu impian
menghilang berlalu pergi


di matamu bukanlah aku
kerana keyakinan terlah terlerai
di sini aku termanggu dalam suram
sendiri terbuai.

~NQO
*IG"
PULAU MUTIARA.


~Walau bukan kamu di mataku, tetapi
di hatiku kau tetap sahabatku, dunia akhirat...:)

TERCIPTA RINDU DI HO CHIN MINH
| Monday, November 21, 2011 | 0 comments



Di pertemuan ini
Vien Tien menjadi saksi
senyum terukir buat pertama kali
ketika bertentang mata di Vung Tau

tembok kaku Phan Thiet
seperti memerhati
seakan ia mahu bersuara
simpulkan cintamu My Tho


ada titis jernih
waktu bicara menjadi sinis
pertemuan sesingkat itu
berakhir di Long Xuyen


esok aku harus pergi
pulang ke negara ibundaku
Ho chin Minh tak akan sunyi
sampai aku kembali
selamat tinggal Mien Thi Trang
aku pulang membawa rindumu
entah bila akan bersatu.


~IBG
Ho Chin Minh City


Puisi indah dititipkan seorang sahabat.
Terima kasih..akan kujaga amanahmu.

PERGILAH SAYANG
17 November, 2011 | Thursday, November 17, 2011 | 0 comments



hampa hati menjeruk rasa
kau ada bagai tiada
tersiksa jiwa nan lara
aku terpenjara
bebas berkata
kaki bagai dirantai

kau hadir umpama bebayang kelam
terkadang jelas
terkadang suram
ku mencarimu dalam pekatnya malam
hanya hembusan rindumu
yang menyentuh rasaku
tergamaknya dirimu meninggalkanku
terkapai sendiri
tercari-cari
tertunggu tunggu
kau kembali menghampakan diriku
kenapa begitu sikapmu padaku


kiranya hadirmu tuk menambah dukaku
pergilah sayang
kuizinkan kau berlalu jauh
hatiku usah kau robek lagi
biarkan aku terus sendiri
bersama lara tak bertepi
atas usikan kenangan silammu
mencarik luka pilu di hati
dulu dan kini
tak pernah terhenti.


MILIK BERSAMA ISTANA MENANTI SEHATI SEJIWA
NurQasehku Olia & Nur Za
25102011.

HIJRAH KASIH CINTA TAK SAMPAI
| Thursday, November 17, 2011 | 0 comments



Kasih
izin kunoktahkan episod cinta semalam
mulakan hijrah kasih pada yang berhak
meski bercinta memulakan langkah
sekali bermula langkahan
takkan kutoleh lagi
andai kembali menoleh
pasti langkahan akan terhenti
mengundang sayu berdarah luka
relakan


kasih
andai langkah kembali terhenti
kecewa mendakap hati seorang aku
tak rela ku kehilangan lagi
hadirmu lama kunantikan
hilangmu sekian lama kujejaki
kini bersua kembali meski tak bertatap
janganlah kau pergi lagi
tak rela aku terusan begini
alpa hanyut dibuai mimpi


kasih
noktahkan harapan cerita mimpi
realitikan kasih cinta tak sampai
di naungan mahabbah ukhwah abadi
tulus suci.


MILIK BERSAMA ISTANA MENANTI SEHATI SEJIWA
NurQasehku Olia & Nur Za
06102011

MIMPI TAK SEIRING
| Thursday, November 17, 2011 | 0 comments






Sebaik sahaja kupejamkan mata
kau hadir menyapa
Assalamualaikum cinta
senyumanmu mekar di bibir
mengusap mesra jari jemariku
belum sempat ku membalas salammu
kau menghilang entah kemana
terjaga ku dari lena
baru ku sedar
oh! mimpi rupanya

ku cuba pejamkan mata kembali
berharap kau bertamu lagi
walau dalam mimpi
meskipun dipujuk mata enggan lena
ditelingaklu seakan terdengar
suaramu berbisik manja memikat sukma
ayuh bangun sayang
basahkan wajahmu dengan wuduk
sujud dan beristikharahlah di sepertiga malam
panjatkan doamu pada Yang Esa
nekadkan keputusanmu

jika takdirNya kau adalah jodohku
satukan kita dalam redhaNya
jika kau bukan jodohku
leraikan ikatan hati ini
tanpa membekas rasa dendam
agar kau dan aku tabah
iringkan sekudus doa
moga bahagia milik bersama
meski mimpi tak seiring!


MILIK BERSAMA ISTANA MENANTI SEHATI SEJIWA
NurQasehku Olia dan Nur Za
12102011.

*Terima kasih Nur Za...puisi ini teramat bererti buatku.






BENAM LARA TAUTAN UKHUWAH
| Thursday, November 17, 2011 | 0 comments


Entah mengapa
tiba-tiba kurasa sayu
ku rasa rindu
ku rasa rindu
dalam mengenangmu

dalam kesayuan
bermukim kesyahduan
dalam kesyahduan
bertandang kepiluan
oh...
haruskah terus-terusan begini?
haruskah terus-terusan bersedih?
mungkinkah ia sekadar gelodak rasa
sejenak menggoncang reranting bahagia

namun
jangan biarkan ia terus luluh
hidup harus tabah
buktikan diri tidak lemah
meski sesekali alah dan tewas
pada pahitnya secangkir kenangan

rasa yang bertandang
tidak pernah diundang
tidak pula ingin diusir
hadirnya atas asakan rindu
ingin saja aku hapuskan
tapi tak berupaya
semakin ku menjauhi
semakin ia mendekat

padaMu Ilhai kumohon petunjuk
andai rasa itu melontarkan aku ke teluk duka
benamkanlah ia ke sungai lara
andai rasa itu menautkan jalinan ukhuwah
suburkanlah ia di danau hati
moga bersatu dalam mawaddah
penuh berkat penuh barokah.

Milik bersama sehati sejiwa
Nur Za dan NurQasehku Olia
11112011....

*Terima kasih Nur Za kerana sudi berkolaborasi dgnku.



CINTA KUCING JANTAN SENGAL
01 September, 2011 | Thursday, September 01, 2011 | 0 comments

CINTA KUCING JANTAN SENGAL

Kalau sudah kucing jantan sengal
layaknya bertamu cinta
si kucing betina liar bebal
dijamu ikan daging pejal
'frieskies' rapuh ranggup
memancing selera
mulut longkang hanyir
tetap menghamburkan muntah
memualkan
meloyakan
tak terbersih tujuh air mutlak
payah dicari

diikutkan umarah di hatiku
mahu kepalamu kupenggal
bersepai
bebal terus
terkial-kial mengorek tanah
kambus najis ditanam
tercium-cium terus
babil tak sudah-sudah

meski diusap mesra
kuku tajam berbisa
sembunyi di sebalik bulu tebal
mencakar tersiat luka hatiku
tertawan dek godaan manja gila
kucing betina liar bebal
tak sedar diuntung
pisahkan kasih air ditetak
takkan putus
kudung

NURQASEHKU OLIA
kamar sepi
Pulau Pinang
3 Sept 2011
8.58 pagi.

AKU TIDAK TAHU
09 July, 2011 | Saturday, July 09, 2011 | 0 comments

UNDANGAN MAAF DEK MAHABBAH
06 July, 2011 | Wednesday, July 06, 2011 | 0 comments

MENCARI CINTA AGUNGMU
| Wednesday, July 06, 2011 | 0 comments

CINTA TERAGUNG III
| Wednesday, July 06, 2011 | 0 comments

CINTA TERAGUNG II
| Wednesday, July 06, 2011 | 0 comments

CINTA TERAGUNG
05 July, 2011 | Tuesday, July 05, 2011 | 0 comments


Old things | New things